Pasaran saham dijangka lebih mantap, bursa uji 1,770 mata tahun depan

pasaran 15.12

Pasaran ekuiti Malaysia akan disokong oleh kejelasan pendapatan, permintaan domestik yang kukuh dan persekitaran dasar yang membina – NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Pasaran saham Malaysia dijangka lebih memberangsangkan pada 2026, didorong oleh peningkatan kejelasan pendapatan syarikat, permintaan domestik yang kekal mantap serta persekitaran dasar yang menyokong pertumbuhan ekonomi, demikian menurut penganalisis.

Ketua Penyelidik Ekuiti CIMB Securities, Ivy Ng Lee Fang, berkata pihaknya kekal positif terhadap prospek saham tempatan dengan mengunjurkan indeks penanda aras Bursa Malaysia, FBM KLCI meningkat ke paras sasaran 1,772 mata menjelang akhir tahun 2026.

Menurutnya, unjuran itu bersandarkan kepada pertumbuhan pendapatan sekitar 6.4 peratus, diterajui oleh syarikat wajaran besar seperti Tenaga Nasional Bhd, Public Bank Bhd dan Gamuda Bhd.

Dari sudut makroekonomi, beliau berkata, asas ekonomi negara dilihat kekal stabil dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjurkan sekitar 4.5 peratus bagi 2025 dan 4.1 peratus pada 2026.

Bagi inflasi pula, pihaknya menjangkakan kadar itu kekal terkawal sekitar paras dua peratus pada tahun depan.

“Kami positif terhadap pasaran ekuiti Malaysia pada 2026, disokong oleh kejelasan pendapatan, permintaan domestik yang kukuh dan persekitaran dasar yang membina,” katanya dalam satu laporan penyelidikan pasaran.

Mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR), CIMB Securities menjangkakan pengurangan sebanyak 25 mata asas pada suku kedua 2026 dalam mengekang persekitaran luaran yang lebih lemah.

Bagi tinjauan prestasi ringgit pula, pihaknya menjangkakan nilai mata wang tempatan berpotensi mengukuh ke paras RM4.05 hingga RM4.10 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku pertama 2026 sebelum stabil sekitar RM4.10 hingga RM4.20 bagi baki tahun berkenaan.

Menurutnya, secara sejarah, trend pengukuhan ringgit lazimnya menyokong penilaian pasaran dan menarik semula aliran masuk pelabur asing.

CIMB Securities berpendapat, salah satu pemangkin struktur utama pada 2026 ialah pelaksanaan fasa seterusnya program GEAR-uP, inisiatif nasional yang diterajui oleh Kementerian Kewangan (MOF) bagi menggerakkan peranan strategik syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memacu pelaburan bernilai tinggi, memperkukuh struktur ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Program itu diperkenalkan pada 2024 bagi menyelaraskan mandat pelaburan enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) utama iaitu Khazanah Nasional, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Bhd (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut CIMB Securities, dalam fasa baharu program berkenaan, lebih 30 GLC di bawah GLIC terbabit akan dipandu untuk meningkatkan permodalan pasaran secara kolektif sebanyak RM100 bilion serta menjana pulangan kepada pemegang saham sekurang-kurangnya 7.5 peratus setahun dalam tempoh lima tahun daripada RM540 bilion yang telah dilaburkan dalam Bursa Malaysia.

Katanya, inisiatif itu sepatutnya menyokong komponen utama KLCI dengan pemilikan GLIC yang besar,

Sementara itu, RHB Research berkata, kegiatan perdagangan dilihat hambar dengan jumlah perdagangan dan pendapatan dari awal tahun hingga kiniuntuk FBM KLCI, FBM 70 dan FBM SC masih menurun dari tahun ke tahun.

Ia berkata, walaupun tahap kecairan tempatan masih mencukupi, sentimen secara amnya masih terganggu oleh faktor ketidakpastian yang berlarutan mengenai tarif, ketegangan geopolitik dan kenaikan kos.

Katanya, dalam Indeks FBM 70, minat pelabur yang lebih lemah berbanding tahun 2024 dilihat berlaku dalam kebanyakan sektor kecuali sektor perindustrian, teknologi, bahan asas dan utiliti.

“Prestasi menaik sektor ini dipacu oleh permintaan lebih teguh untuk kegiatan berkaitan prasarana, pusat data, tenaga boleh baharu, pemulihan segmen semikonduktor yang berterusan dan kekukuhan yang diterajui oleh komoditi,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/pasaran/2025/12/1485305/pasaran-saham-dijangka-lebih-mantap-bursa-uji-1770-mata-tahun-depan

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top